Hebahan/Pengumuman
: Maaf...tiada pengumuman buat masa ini. Terima Kasih
HARI KESIHATAN YAYASAN ISLAM TERENGGANU DENGAN KERJASAMA HOSPITAL SULTANAH NUR ZAHIRAH (HSNZ)
Yayasan Islam Terengganu (YIT) dengan kerjasama Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah menganjurkan Hari Kesihatan Yayasan Islam Terengganu pada 25 Januari 2026 (Ahad) bertempat di Dewan Al-Fateh, Tingkat 4, Menara Yayasan Islam Terengganu. Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 3.00 petang itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental serta amalan gaya hidup sihat demi kesejahteraan diri dan keluarga.
 
Program dimulakan dengan Seminar 1 bertajuk “Derma Darah, Bersama Selamatkan Nyawa” yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Afif bin Abdul Ramlan dari jam 8.30 pagi hingga 9.00 pagi. Seterusnya, Seminar 2 bertajuk “Penjagaan Kesihatan Mental dan Obesiti” telah disampaikan oleh Dr. Nurul Izzati binti Mohd Salleh dari jam 9.00 pagi hingga 9.30 pagi, yang menekankan kepentingan keseimbangan kesihatan mental dan fizikal dalam kehidupan seharian.
 
Program derma darah telah bermula pada jam 9.30 pagi sejurus tamat sesi seminar, dengan sambutan yang menggalakkan daripada para pengunjung. Selain itu, pelbagai kaunter pameran turut dibuka antaranya CelcomDigi, Farmasi, Auto Lab (Pendengaran), Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kuala Terengganu (Manir), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Perubatan Transfusi (Pendermaan Organ), sekali gus menjadikan program ini platform menyeluruh dalam menyampaikan maklumat dan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.